Sunday, December 26, 2010

:: Duhai Hati ::




Rasulullah SAW bersabda :

أَلَا وَ إِنَّ فِيْ الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلُحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad ada segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan apabila ia rusak, maka rusaklah seluruh jasadnya. Itulah gambaran hati”.
(HR Bukhari & Muslim)


Hati ini boleh diibaratkan sebagai pusat kawalan seluruh anggota badan. Andai rosak hati tersebut dinodai titik-titik hitam, maka rosaklah seluruh badan. Tetapi andai disucikan dengan madu keimanan dicerahkan dengan cahaya ketaqwaan maka mudahlah output tubuh badan ke arah kebaikan.


Hati ini perlu disucikan selalu, dijaga dan dipelihara sebaiknya. Hati membentuk aqidah yang utuh seterusnya membentuk ketaatan dalam beribadah. Meskipun begitu, Allah telah meletakkan ujian kepada kita melalui hati-hati kita. Hati sangat mudah beralih arah. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda :-

إِنَّمَا سُمِّيَ القَلْبُ مِنْ تَقَلُّبِهِ ،إِنَّمَا مَثَلُ القَلْبِ كَمَثَلِ رِيْشَةٍ مُعَلَّقَةٍ فِيْ أَصْلِ شَجَرَةٍ يُقَلِّبُهَا الرِّيْحُ ظَهْرًا لِبَطْنٍ

“Sesungguhnya dinamakan qolbun kerana gampang berbolak-balik. Sesungguhnya perumpamaan hati adalah seperti bulu yang tergantung di atas pohon yang dapat dibolak-balikkan hembusan air, ke kiri dan ke kanan”.
(HR Ahmad)


Sabda Rasulullah SAW yang lainnya mengenai hati :-
“Sesungguhnya hati-hati manusia berada di antara dua jari dari jari-jari ar-Rahman, jika Dia menghendaki, Dia tetapkannya, dan jika Dia menghendaki, Dia belokkannya”
(HR Tirmizi)


Ada suatu cerita yang berkaitan dengan hati. Luqman al-Hakim merupakan seroang hamba. Diriwayatkan bahawa dia hidup semasa zaman Nabi Daud AS. Dia bekerja dengan seorang majikan. Pada suatu hari dia disuruh menyembelih seekor kambing. Majikannya berkata “Wahai Luqman al-Hakim, masakkan aku bahagian yang paling berkhasiat dan paling baik daripada kambing tersebut”. Lalu Luqman al-Hakim mengambil pisau memotong lidah kambing itu dan membelah badan kambing itu untuk diambil hati kambing itu. Lalu dia memasaknya dengan masakan yang paling sedap. Pada hari yang lainnya, Luqman al-Hakim disuruh menyembelih seekor kambing lagi. Kali ini majikannya berkata “Wahai Luqman al-Hakim, masakkan aku bahagian yang paling jijik dan kotor daripada kambing itu”. Luqman al-Hakim sekali lagi mendapatkan lidah dan hati kambing tersebut lalu dimasakkan dengan cara yang jijik dan kotor sekali.


Majikannya berasa terkejut dan pelik. Lalu dia bertanya kepada Luqman al-Hakim “Wahai Luqman al-Hakim,apabila aku menyuruh kau masakkan aku bahagian yang paling berkhasiat dan paling baik, kau mengambil bahagian lidah dan hati. Kemudian apabila aku menyuruh kau masakkan aku bahagian yang paling jijik dan kotor, lidah dan hati juga kau ambil”, kata majikannya kehairanan. Luqman al-Hakim menjawab “Wahai tuan, ketahuilah kau bahawa 2 bahagian inilah penentu seluruh anggota badan. Andai apa yang diturukan lidah dan hatinya juga baik, maka baiklah seluruh anggota badan. Jika buruk pertuturannya, busuk hatinya, maka celakalah seluruh anggota badannya”





Lihatlah betapa kita perlu selalu mengislahkan hati kita supaya sentiasa bersih agar mudah untuk kita beristiqamah di jalan-Nya.


Ibnu Rawaahah R.A berkata kepada Abu ad-Dardaa R.A sambil memegang tangannya.
“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati ini lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”




-: Jenis Hati :-



Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasulpun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitanpun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat. dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Qur`an itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.
(Al-Hajj 22:52-54)



1. Hati yang Sihat / Selamat (قَلْبٌ صَحِيْحٌ سَلِيْمٌ).
Qulbun salim yang dapat membawa keselamatan di sisi Alloh subhanahu wa ta’ala adalah:
{الَّذِيْ قَدْ سَلِمَ مِنْ كُلِّ شَهْوَةٍ تُخَالِفُ أَمْرَ اللهِ وَ مِنْ كُلِّ شُبْهَةٍ تُعَارِضُ خَبَرَهُ}
“Hati yg selamat drpd setiap syahwat yg menyalahi perintah dan larangan Allah serta selamat dr setiap syubhah yg bertentangan dgn berita-berita-Nya”.


2. Hati yang Mati. (قَلْبٌ مَيْتٌ)
Hati yang mati ialah hati yang tidak mengetahui kehidupan dalam erti Islam yang sebenarnya. Hati tersebut tidak mengenali al-Khaliqnya. Bahkan ditambah dengan pelbagai kemaksiatan yang sememangnya mengundang kemurkaan Penciptanya. Oleh yang demikian lama-kelamaan, dia tunduk kepada syahwat dan nafsunya. Syahwat=> komando, Nafsu=> kenderaan.


3. Hati yang Berpenyakit. (قَلْبٌ مَرِيْضٌ)
Penyakit hati adalah bentuk kerosakan yang terjadi di dalam hati yang dapat merosakkan tasawwur (kefahaman) dan irodah (keinginan)nya. Tasawwur dirosakkan sehingga dia tidak dapat melihat kebenaran dengan sejelasnya, apa erti sebenarnya kebenaran dan menyangkakannya tidak relvan dengan kehendaknya. Irodahnya pla dihancurkan dengan cara membenci kebenaran yang hakikatnya membawa kebenaran sebaliknya menyukai kejahatan yang membawa kebathilan dan kepalsuan.


Rasulullah SAW sering berdoa :-

يَامُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلى دِيْنِكَ

“Wahai Dzat yang membolak-balikan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu. (HR Ahmad, Tirmizi)


Oleh yang demikian, ayuhlah kita sama-sama menjaga hati kita agar terpelihara daripada segala kebathilan dan kesesetan. Selamat bermujahadah di jalan-Nya. Insya-Allah. Wallahu’alam.


:: Aku Mencintaimu Kerana Allah ::

Ya Allah
Permudahkanlah teman yang ku kasihi ini menduduki imtihan dunia-Mu
Jadikanlah debaran di jiwanya disebabkan risau andai gagal melamar redha-Mu
Dengarlah rintihan hatinya yang sanggup bersusah payah demi ilmu-Mu
Terimalah air matanya sebagai penyejuk kemurkaan-Mu
Belailah jiwanya di saat dia terkulai lemah agar terhindar dia dari mengharapkan selain dari-Mu


Wahai Allah yang Maha Pengasih
Ku rela cagarkan satu-satunya simpulan ukhuwah nan rapuh ini
Andai ia mampu menjadi mahar agar temanku ini
Layak mendapat perhatian daripada-Mu
Kerana aku tahu tiada yang lebih layak membahagiakannya
Melainkan kejayaandi jeti persinggahan
Untuk dibawa pulang ke kampung akhirat kelak


Amin Ya Rabbi


:: الوقت مثل السيف ::

Waktu adalah kehidupan manusia. Jika digunakan untuk membaca menjadi sumber kebijaksanaan. JIka digunakan untuk berfikir menjadi sumber kekuatan. Jika digunakan untuk berdoa menjadi sumber keberkatan dan kerahmatan. Jika digunakan untuk bekerja menjadi keberhasilan. Jika digunakan untuk beramal akan menghantar ke syurga. Semua itu adalah kewajipan seorang hamba terhadap Tuhannnya. Gunakanlah waktu untuk kehidupan yang sebenarnya. Sesungguhnya kewajipan-kewajipan hamba di dunia lebih banyak daripada kepanjangan waktu yang sedia ada.


:: Saidina Umar Pemimpin Terbilang Part II ::




Pada suatu malam, Saidina Umar sedang bersiap-siap untuk keluar dari rumahnya. Seperti biasa, beliau akan berjalan sekeliling kota. Tiba-tiba dia ternampak suatu uggun api. Beliau segere ke arah uggun api tersebut. Dilihatnya terdapat sebuah khemah dan seorang pemuda sedang duduk menghadap uggun api tersebut.

Saidina Umar memberikan salam dan bertegur sapa.

“Aku tak pernah lihat lihat orang tinggal kat kawasan ni. Adakah kau musafir?”, kata Saidina Umar.

“Ya tuan. Aku seorang musafir tinggal di kawasan gurun. Aku datang sini nak mengadu nasib dengan Khalifah”, jawab pemuda itu.

“Jika begitu, datanglah ke Masjid Nabi”, jawab Saidina Umar.

Tiba-tiba kedengaran jeritan seorang perempuan di dalam khemah tersebut. Bunyinya seperti dalam kesakitan. Saidina Umar pun bertanya
“Siapakah gerangan yang menjerit di dalam khemah tersebut?”

“Isteri saya tuan. Dia sedang sakit untuk bersalin”, jawab pemuda itu dalam keadaan gelisah.

“Kamu tunggu di sini. Akan ku pergi mendapatkan seorang bidan untuk membantu isterimu”, kata Saidina Umar.

Sampai di rumahnya, Saidina Umar segera megejutkan Ummi Kalsum, isterinya. “Wahai isteriku di luar sana ade seorang perempuan sedang sakit untuk melahirkan. Segeralah bersiap untuk merebut pintu kebajikan”

Sebelum keluar dari rumah, Saidina Umar segera mendapatkan sedikit tepung. Setelah sampai di khemah tadi, Ummi Kalsum segera membantu perempuan tersebut untuk melahirkan anaknya. Sambil menunggu isteri pemuda itu melahirkan anaknya, Saidina Umar menjerang air dan memasak tepung yang dibawanya untuk menjamu pemuda dan isterinya.

Tiba-tiba kedengaran tangisan bayi tanda perempuan tersebut selamat melahirkan anaknya.

“Terima kasih tuan kerana mencarikan bidan. Semoga Tuhan merahmati tuan”, kata pemuda itu dalam keadaan gembira.

“Wahai Amirul Mukminin, bersyukurlah kerana perempuan tersebut telah selamat melahirkan anak lelaki”, kata Ummi Kalsum.

Kemudian barulah pemuda tadi sedar bahawa yang membantunya adalah Khalifah Umar al-Khattab.



------------------------------------------------------------------------------------------

Malam yang lainnya, Saidina Umar berjalan-jalan lagi di sekeliling kota smpai di hujung kota. Dia terdengar suara seorang perempuan mengeluh.

“Susahnya nasib kita ini. Saidina Umar sedikit pun tidak membantu kita”, kata perempuan itu.

“Bersabarlah wahai ibuku. Segala rezeki datangnya daripada Allah bukan Saidina Umar”, kata anak perempuannya.

Saidina Umar berasa kesal mendengar perbualan itu. Betapa dia merasakan dia belum menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah dengan sempurna.

“Tadi ibu ada memerah susu kambing untuk dibawa ke pasar esok hari. Semoga dapat la dijual. Hasilnya nanti boleh menampung perbelanjaan untuk makanan dan pakaian kita”, kata perempuan itu.

“Baiklah ibu. Nanti kalau ada duit lebihannnya, ibu belikan saya pakaian kerana pakaian saya koyak-koyak. Saya malu untuk keluar rumah dengan berpakaian sebegitu”, kata anak perempuannya.

Mendengar kata-kata anak gadis itu, Saidina Umar menangis betapa keluarga ini perlu mendapat pembelaan hak daripadanya sebagai seorang khalifah.

“Nanti sebelum tidur, tolong ibu masukkan susu dalam bekas ya. Senang untuk dibawa ke pasar esok pagi”, suruh perempuan itu.

“Baiklah ibu, saya lakukan sekarang”, lembut gadis itu menjawab.

Tiba-tiba semasa gadis tersebut memasukkan susu ke dalam bekas, separuh daripadanya tertumpah.
“Alamak, ibu saya tertumpahkan susu ini. Hanya separuh sahaja tinggal. Maafkan saya ibu”, rayu gadis tersebut.

“Wahai anakku, bagaimana boleh terjadi sebegitu? Bagaimana kita mahu membeli makanan dan pakaian sekiranya hanya separuh sahaja tertinggal? Baiklah. Kamu campurkan sahaja susu itu dengan air”, suruh perempuan itu.

“Duhai ibu, Amirul Mukminin melarang kita menipu dalam jual beli. Sekiranya dia tahu mesti dia marah”, jawab gadis tersebut.

“Amirul Mukminin takkan tahu wahai anakku. Apatah lagi orang-orang lain”, mudah sahaja jawapan si ibu.

“Wahai ibu, tidakkah kamu ingat bahawa Allah itu Maha Melihat?”, lembut gadis itu berkata tetapi memberikan kesan mendalam kepada perempuan itu. Maka rancangan tersebut dibatalkan.

Saidina Umar kembali ke rumahnya. Dia tertarik dengan gadis itu. Pada keesokan pagi, beliau menyuruh Aslam, pembantunya ke rumah perempuan itu untuk menjemput dia dan anak gadisnya berjumpa dengan Saidina Umar.

Perempuan itu memberikan alasan mereka perlu menjual susu untuk memperoleh sumber pendapatan. Aslam memberitahu bahawa Saidina Umar pasti membeli susunya. Mendengar jawapan Aslam perempuan itu tiba-tiba resah sekiranya susunya telah dicampur air.

“Ibu, saya masih lagi tidak mencampurkan air ke dalam susu tersebut”, perlahan anak gadisnya berkata.

Kemudian perempuan itu dan anaknya bersetuju untuk menemui Saidina Umar.

“Tahukah kamu Allah murka sekiranya kamu mengurangkan sukatan? Peniaga yang jujur mendapat keberkatan”, tegas suara Saidina Umar.

“Tuan, susu kami ialah susu yang berkualiti. Bersih daripada penipuan”, kata gadis itu.

“Saya mahu membeli susu itu dan saya juga mahu melamar kamu untuk dikahwinkan dengan anak lelaki saya”, kata Saidina Umar.

Akhirnya gadis itu yang bernama Fatimah dikahwinkan dengan putera Saidina Umar iaitu Ashim. Kemudian mereka mendapat cahaya mata yang dinamakan Laila. Laila kemudiannya dilamar oleh Marwan bin Hakam untuk dikahwinkan dengan anak lelakinya Abdul Aziz. Melalui perkahwinan mereka lahirlah Umar bin Abdul Aziz.


:: اجلس بنا نؤمن ساعة ::




:= Renungkan Bersama Sahabatku =:



Ya Allah
Sesungguhnya aku malu pada-Mu
Tidaklah aku diciptakan tanpa TUJUAN
Kedatanganku ke atas dunia-Mu ini jua bertujuan


Ya Allah
Kejinya aku mencintai dunia yang hina ini
Melebihi cintaku kepada-Mu
Hakikatnya, Kau yang memberikan aku KEHIDUPAN
Ditambah pula dengan pelbagai NIKMAT


Ya Allah
Tergamaknya aku membuat kerosakan di atas bumi-Mu ini
Sedangkan aku tahu betapa kerdil dan hinanya aku
Hanya BERPIJAK di alam ciptaan-Mu
Yang sememangnya luas terhampar


Ya Allah
Kejamnya aku kerana lalai dalam mengingati-Mu
Sedangkan Kau tidak pernah melupakanku
UDARA segar Kau berikan agar aku dapat bernafas
Meneruskan kehidupan seharian


Ya Allah
Berdosanya aku mendewakan nafsu-Ku
Sehingga mengabaikan suruhan-Mu
Padahal aku makan REZEKI kurniaan-Mu
Dan rezeki itu Kau jadikan TENAGA tanpa ku pinta


Ya Allah
Zalimnya aku mengabaikan seruan azan
Panggilan muazzin ku tidak hiraukan
Padahal KESIHATAN telah Kau kurniakan
Untuk solat jamaah yang patut didirikan


Ya Allah
Hinanya aku meninggalkan pembacaan al-Quran
Apatah lagi hadis peninggalan junjungan
Sedangkan AKAL yang sihat Kau kurniakan
Tidak sekalipun aku manfaatkan atas jalan kebenaran


Ya Allah
Aku alpa dalam mengejar cita-cita
Sibuk membaca, mengulang kaji pelajaran
Padahal aku tahu KEJAYAAN datangnya daripada Tuhan
Amar Makruf Nahi mungkar ku tinggalkan


Ya Allah
Aku tahu Kau sukakan pengampunan
Maka ampunkanlah diriku
Berilah ku peluang untuk menjadi hamba yang Kau cintai
Agar dapat ku rasai KHALAWATUL IMAN


Ya Allah
Jangan Kau letakkan dunia di hatiku
Nescaya akan membawa kelalaian
Saratkanlah hatiku dengan cinta-Mu
Bukan cinta manusia yang penuh kepalsuan


Ya Allah
Hadirkanlah aku teman-teman
Yang megingatkanku kepada kebenaran
Agar tidak aku dalam kesesatan
Matiku sujud dalam keimanan


~ Amin Ya Rabbal Alamin~


Wednesday, December 8, 2010

:: Saidina Umar Pemimpin Terbilang Part I ::




Saidina Umar al-Khatab merupakan khalifah yang kedua dalam Khulafak Ar-Rasyidin. Saidina Umar al-Khatab juga dikatakan sebagai orang yang melakukan penghijrahan terbesar semasa peristiwa hijrah ke Madinah. Hal sedemikian disebabkan oleh semangatnya yang tinggi dalam memusuhi dakwah Nabi Muhammad SAW semasa zaman jahiliyahnya. Namun begitu, setelah diberikan hidayah untuk memeluk Islam, Saidina Umar merupakan orang yang paling berani membela Islam. Dan semasa peristiwa hijrah juga, beliau berani mencabar musyrikin Makkah yang hendak menghalang penghijrahannya. Orang ramai yang berasa gentar dengan Saidina Umar tidak sanggup berbuat apa-apa.

Pernah suatu ketika, Saidina Umar berkata,

"Alangkah bagusnya aku menjadi seperti pohon tamar. Sesudah mati tidak akan dipersoalkan lagi". Apabila berfikir mengenai kematian, Saidina Umar pasti akan menitiskan air mata keinsafan. Manusia selepas mati pasti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar. Segala amalan di dunia akan dipersoalkan dengan al-Mizan keadilan Allah SWT. Andai buku amalan diterima dengan tangan kanan, maka baiklah keadaan seterusnya. Sebaliknya jika dengan tangan kiri, maka rugi dan menyesallah dia.

Pembantu Saidina Umar, Aslam kehairanan melihat Saidina Umar lantas bertanya, "Wahai Amirul Mukminin, mengapa kamu menangis?".

"Aku sangat takut akan seksaan kubur dan azab neraka", jawab Saidina Umar.

"Tetapi tuan sudah tergolong dalam orang-orang yang dijamin syurga bukan?", tanya Aslam.

"Sekiranya aku melakukan kesalahan, aku tetap dihukum dahulu kecuali dengan pengampunan Allah Taala", jawab Saidina Umar.

Mendengar Aslam jawapan Saidina Umar itu, dia cuba menghiburkan hati Saidina Umar, "Tuan tidak pernah melakukan kesalahan. Tuan seorang khalifah yang adil".

"Di akhirat nanti, aku pasti ditanya mengenai kepimpinanku dan apakah nasibku sekiranya masih ada lagi rakyat yang tidak mendapat haknya lalu mereka menuntut keadilan di hadapan Allah A'za Wajalla?", tanya Saidina Umar.

"Semoga Allah ampunkan kesalahan tuan", ujar Aslam.

======================================================


Usai solat Isyak secara berjamaah, Saidina Umar memberitahu Aslam,

"Wahai Aslam, temankan aku keluar malam. Aku gusar dan tidak dapat melelapkan mata andainya tanggungjawabku sebagai khalifah masih belum sempurna".

"Baiklah tuan", jawab Aslam.

Menjadi rutin Saidina Umar untuk berjalan pada waktu malam tatkala rakyatnya sedang nyenyak tidur. Pada lama tersebut, Saidina Umar dan Aslam terlihat unggun api di hujung suatu kawasan.

"Mari kita ke sana wahai Aslam. Mungkin ada pengembara yang bermalam ataupun tersesat jalan dan mereka mungkin memerlukan bantuan",kata Saidina Umar.

"Baiklah tuan", akur Aslam.

Tatkala mereka mendekati unggun api tersebut, kelihatan seorang wanita sedang menjerang sebuah periuk dan 4 orang kanak-kanak sedang menangis.

"Assalamualaikum, puan. Boleh saya tahu mengapa kanak-kanak ini menangis?", tanya Saidina Umar.

"Mereka kelaparan", jawab perempuan itu.

"Apakah yang puan sedang masak?", tanya Saidina Umar lagi

"Hanyalah ketulan-ketulan batu dan air sahaja wahai tuan. Makanan kami sudah habis. Tetapi anak-anakku sedang kelaparan. Jadi, aku terpaksa menjerang air dan batu untuk menyedapkan hati mereka supaya mereka fikir aku sedang memasak sesuatu", jawab perempuan itu.

Saidina Umar berasa sangat simpati dengan nasib mereka sekeluarga.

"Kenapa puan tidak memberitahu hal ini kepada Amirul Mukiminin?", uji Saidina Umar.

"Dia tidak pernah ambil tahu hal kami. Patutkah seseorang yang bergelar khalifah mengabaikan tanggungjawabnya. Orang yang bergelar khalifah sepatutnya mebambil tahu kebajikan setiap rakyatnya", jawab perempuan itu.

"Semoga Allah mengampuni khalifah kita. Puan tunggulah di sini ya. Saya pergi mendapatkan sedikit makanan", kata Saidina Umar.

"Alangkah baik hati tuan. Tuan lebih layak menyandang jawatan khalifah berbanding Umar al-Khatab", kata perempuan itu.

"Puan, ini ada sedikit makanan. Kami bawakan tepung, minyak, kurma dan pakaian untuk puan", kata Saidina Umar.

"Murah sungguh hati tuan. Benar kata saya tadi. Tuanlah yang patut menjadi khalifah", kata perempuan itu.

Aslam bertanya, "Puan, bolehkah saya bertanya sesuatu? Di mana suami puan?"

"Suamiku pergi berperang dan gugur syahid. Selepas kematiannya aku sekeluarga hilang tempat bergantung. Khalifah tida pernah ambil tahu hal kami", jawab perempuan itu.

Saidina Umar kemudiannya memberikan tamar kepada perempuan itu untuk diberikan kepada anak-anaknya dan menyelimuti anak-anaknya sambil dia memasak tepung yang dibawanya. Setelah selesai masak, perempuan itu dan anak-anaknya menikmati makanan tersebut sehingga kenyang.

"Allah sahaja yang dapat membalas jasa tuan. Tuan sepatutnya menjadi khalifah"

Aslam ingin sahaja memberitahu yang lelaki di hadapan perempuan ini merupakan seorang khalifah tetapi Saidina Umar mengisyaratkan Aslam agar tida berbuat sedemikian.

Saidina Umar sempat berpesan kepada perempuan tersebut agar pergi ke rumah Saidina Umar pada keesokan harinya bersama anak-anaknya.

Pada keesokan harinya, setelah perempuan itu sampai di rumah Saidina Umar, dia terkejut kerana lelaki yang membantunya semalam ialah Saidina Umar al-Khatab. Dia meminta maaf kerana tidak mengenali Saidina Umar dan Saidna Umar juga meminta maaf kerana tidak mengetahui perihal perempuan tersebut.

=====================================================

~ Pemimpin sekarang sepatutnya mencontohi sifat Saidina Umar yang sentiasa takut sekiranya kepimpinannya tidak cukup sempurna dan takut jika ramai lagi rakyat yang tidak mendapat pembelaan. Jawatan merupakan suatu amanah yang akan dipersoalkan semasa hari akhirat. Apabila bergelar pempimpin, sebelah kaki kita sudah ditarik ke lembah neraka. Jadi pemimpin bukan kerana jawatan, nama, harta dan kemahsyuran tetapi ikhlas kerana Allah Taala. ~


Tuesday, December 7, 2010

:: Saidina Ali Pintu Keilmuan ::




Dalam suatu majlis ilmu, 10 orang lelaki hendak menguji kehebatan Saidina Ali. Pemuda 1 bertanya kepada Saidina Ali,

"Wahai Ali, benarkah Rasulullah berkata baginda ialah kota ilmu dan engkau adalah pintunya?"

Saidina Ali menjawab "Ya, benar katamu itu".



Pemuda 2 bertanya "Wahai Ali di manakah yang lebih baik, ilmu atau pun harta?".

"Ilmu kerana ilmu warisan para nabi & rasul manakala harta warisan Qarun, Firaun dan Syaddad", jawab Saidina Ali.



Pemuda 3 bertanya kepada Saidina Ali soalan yang sama mengenai ilmu dan harta.

Saidina Ali menjawab "Ilmu kerana ilmu menjaga kamu tetapi harta kamu yang menjaganya".



Pemuda 4 bertanya lagi soalan yang sama kepada Saidina Ali.

Jawapannya, "Ilmu kerana orang yang banyak hartanya ramailah musuhnya. Lain pula dengan ilmu, semakin tinggi ilmu seseorang itu, semakin ramai kawannya".



Pemuda 5 bertanya kepada Ali soalan yang serupa juga.

Saidina Ali masih lagi boleh memberikan jawapannya iaitu "Ilmu kerana harta semakin digunakan semakin berkurang tetapi ilmu apabila diamalkan semakin bertambah".





Soalan yang sama masih lagi ditujukan kepada Saidina Ali oleh pemuda 6.

Jawabnya Ali, "Orang yang berharta kebiasaannya kedekut. Jauh berbeza dengan orang yang berilmu yang sangat pemurah dan dihormati".



Pemuda 7 juga bertanyakan soalan yang sama kepada Saidina Ali.

Saidina Ali masih lagi boleh memberikan jawapan yang berbeza meskipun soalan yang serupa. "Ilmu kerana pemilik harta dihisab pada hari akhirat tetapi ilmu memberi syafaat kepada pemiliknya".



Soalan yang sama ditanyakan kepada Saidina Ali oleh pemuda 8.

Jawapan Saidina Ali tetapi lagi sama, "Ilmu kerana pemilik harta keras dan gelap hatinya berbeza dengan pemilik ilmu yang terang dan lembut hatinya".



Pemuda 9 masih lagi tidak berpuas hati dengan kehebatan Saidina Ali mengajukan soalan yang sama.

Saidina Ali dengan tenangnya menjawab "Ilmu kerana harta semakin lama disimpan semakin usang tetapi ilmu tidak pernah usang".



Pemuda 10, orang yang terakhir masih lagi mengajukan soalan yang serupa kepada Saidina Ali dengan harapan Saidina Ali sudah ketandusan idea dan pendapat.

Tetapi sangkaannya meleset. Saidina Ali sambil tersenyum menjawab, "Ilmu kerana pemilik harta mengatakan bahawa harta itu miliknya tetapi pemilik ilmu mengakui ilmu itu milik mutlak Allah Taala".


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)



Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (58:11)



Marilah sama-sama kita mencontohi kebijaksanaan Saidina Ali dan berusaha sedaya upaya dalam usaha mencari kedua-dua ilmu; ilmu dunia dan ilmu akhirat. Sesungguhnya dunia dan akhirat itu umpama 2 orang wanita yang dimadukan. Jika salah satu diutamakan nescaya yang lagi satu akan berasa cemburu. Selamat beramal. Wallahu'alam.


:: Istibra' Penting Bagi Lelaki ::

TAKRIFAN ISTIBRA'

Istibra' menurut Mausu'ah al-Fiqhiyah , (3/167) membawa dua maksud:

1. Dalam bahasa arab ialah menuntut kebersihan

2. Dalam fiqh membawa dua maksud:
i) Taharah lelaki ketika buang air khususnya buang air kecil
ii) Taharah rahim pezina dan hamba, supaya rahim mereka benar2 bersih sebelum dapat bernikah atau disetubuhi oleh orang lain.

Menurut Ibnu 'Arafah, istibra' ialah menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Jadi melalui takrifan ini, ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani.

Ulama mazhab Hanafi pula, memberikan tafsiran sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin tiada lagi sisa najis tertinggal dan mereka berpendapat istibra' tidak berkaitan dengan golongan wanita. (Hasyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)
Perkataan-perkataan Arab lain yang memberikan takrifan yang sama ialah istinqa', istinzah dan istintar


HUKUM ISTIBRA'

Sebilangan besar ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e yang berpendapat bahawa istibra‘ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibra‘ itu wajib berdalilkan dengan hadith Ad-Daraquthni yang maksudnya :

“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”.


Hadith ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra‘ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibra‘.

Dalil mereka yang kedua yang maksudnya :

“Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)


Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh imam Muhammad Ar-Razi di dalam tafsirnya “Al-Fakhrul Ar-Razi”, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba‘, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh Omar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha‘)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?”. Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinja‘ dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca ayat di atas.(Tafsir Al-Fakhrul Ar-Razi: 8/201)

CARA BERISTIBRA'

Cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.
Secara umumnya cara untuk beristibra‘ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing dari keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibra‘. (Al-Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 1/194-195)

PERCIKAN AIR KENCING YANG TERKENA PADA BADAN ATAU PAKAIAN

Seperti yang kita ketahui, air kencing merupakan sebahagian daripada najis. Jadi dalam konteks istibra’, air kencing juga perlu dibahaskan. Sekiranya terkena pada badan dan pakaian, umumnya menyebabkan apa jua ibadat dilakukan tidak sah. Namun begitu terdapat najis yang dalam kadar yang sedikit yang boleh dimaafkan sekiranya terkena pada badan dan pakaian.

KADAR YANG DIMAAFKAN

Imam Syafi’e menurut qaul jadidnya ada dua pendapat:

I. Kadar yang banyak itu ialah kadar yang boleh dilihat tanpa memandangnya dengan teliti dan tanpa diperiksa, dan kadar yang sedikit pula adalah yang sebaliknya.

II. Kadar yang ditentukan oleh adat kebiasaan, dan ini adalah pendapat yang lebih diterima (ashah). Pendapat ini mengatakan bahawa apa saja najis yang biasanya berlaku percikan dan susah hendak dielakkan adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit, dan apa jua najis yang jarang berlaku boleh membawa percikan dan mudah untuk dielakkan adalah sebaliknya (najis).(Al-Majmu’: 3/142)

HUKUM PERCIKAN AIR KENCING

Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.

Ramai orang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya yang terkena percikan najis air kencing, sehinggakan mereka menganggapnya sebagai penghalang dari melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima. Para ulama Mazhab Syafi’e mempunyai pendapat masing-masing dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.

Ada pendapat mengatakan ia adalah di antara najis-najis yang boleh dimaafkan dan ada yang mengatakan ia adalah najis. Para pengarang kitab-kitab feqh berselisih pendapat dalam memilih pendapat yang lebih diterima. Imam Al-Mawardi mengatakan yang ashah adalah pendapat yang mengatakan ia adalah najis. Sebaliknya Al-Qadhi Abu Thayyib mengatakan ia tidak najis jika terkena pada pakaian.

Pendapat yang shahih dan terpilih daripada pendapat-pendapat ini ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya Al-Muqni’ dan imam Al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
And strive hard in Allah's Cause as you ought to strive with sincerity and with all your efforts. He has chosen you and has not laid upon you in religion any hardship
(22:78)


AKHIRUL KALAM

Perkara sebegini jangan diambil remeh kerana perkara sekecil inilah yang menentukan penerimaan ibadah kita sama ada diterima atau tidak. Seperti yang kita selalu dengar kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata:

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan.Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.”

Riwayat al-lmam Muslim.



Dan Allah juga menyukai orang-orang yang membersihkan diri.


Never stand you therein. Verily, the mosque whose foundation was laid from the first day on piety is more worthy that you stand therein (to pray). In it are men who love to clean and purify themselves. And Allah loves those who make themselves clean and purify (i.e who clean their private parts with dust i.e can be considered as soap and water from urine and stools after answering the call of nature)
(9:108)

Monday, December 6, 2010

:: Al-Quran Pembersih Hati ::

Pada suatu ketika, tinggal seorang cucu dan atuknya. Atuknya bukanlah daripada golongan yang pandai berbahasa Arab tetapi dia rajin membaca al-Quran. Si cucu yang mengetahui atuknya itu tidak memahami sepatah perkataan Arab, mengutarakan pertanyaan kepada atuknya.

"Atuk, bukan ke atuk tak tahu bahasa Arab?", tanya si cucu.

"Memang cu.. Atuk sekolah pun tak habis.. Apatah lagi nak belajar bahasa Arab..", jawab atuknya.

"Habis tu tuk, kenapa atuk baca al-Quran.. kalau baca pun, bukannye faham maksudnya.. Baik tak payah baca-baca.. Macam sia-sia je", balas si cucu.

Atuknya menggeleng-geleng kepala mendengar persepsi cucunya itu. Tiba-tiba dia terfikirkan suatu idea untuk membuktikan persepsi cucunya itu salah sama sekali. Dia terlihat bakul rotannya yang selalu diisikan arang di dalamnya. Lantas dia mengambil bakul itu.



"Cu, atuk nak mintak tolong sikit boleh?", uji atuknya.

"Tolong apa tuk? Atuk tak jawab lagi soalan tadi", jawab cucunya.

"Nanti atuk jawab. Sekarang ni, atuk nak cucu ambil bakul ni pergi isi air di perigi. Isi sampai penuh ye", atuknya memberikan arahan.

"Baiklah tuk". Si cucu pun pergi mengambil air di perigi menggunakan bakul bekas pengisi arang.

Setelah air di dalam bakul tersebut sudah penuh, si cucu pun mengangkat dan segera kembali ke rumahnya. Sesudah tiba di rumah, dia lihat bakulnya sudah kering dan tiada air lagi di dalamnya.

Dia segera kembali ke perigi untuk mengangkat air lagi. Perkara sama juga terjadi, sesudah sampai di rumah, bakulnya sudah tidak berisi air lagi. Dia ulang sekali lagi buat kali ketiga. Setelah kali ketiga mencuba, akhirnya dia berputus asa kerana kepenatan.

Atuknya bangkit dan tersenyum melihat cucunya yang kepenatan. Nampaknya cucunya masih lagi tidak mengerti perbuatannya itu.

"Cu nak atuk jawab soalan cu tadi kan? Cuba cu tengok bakul buat isi arang tadi?", kata atuknya.

"Dah kering la tuk. Tak ade air pun. Buat penat je angkat dan ulang-alik. Sia-sia je', jawab cucunya

"Ada lagi yang cu tak tengok dengn teliti ni", uji atuknya.

Cucunya terkejut melihat bakul tersebut yang sudah bersih dan tiada kesan arang sedikit pun lagi.

"Atuk! Dah bersih la bakul ni!", teriak cucunya.




"Itulah dia fadhilat membaca al-Quran. Meskipun kita tidak memahami maksudnya tetapi kita dapat membersihkan hati kita, menyucikan hati kita agar kita sentiasa ingat kepada Allah.

~ Jadi daripada cerita ini, dapat kita ambil ikhtibar agar sentiasa membaca al-Quran dan seeloknya membaca terjemahan dan asbabun nuzulnya sekali agar pemahaman dan penghayatan kita terhadap ayat tersebut bertambah mantap. Wallahualam. ^^

:: Anda Sedang Diuji? ::

Dalam kita berstatuskan pelajar, kejayaan dan kegagalan kadang-kala silih berganti. Hidup kita ini umpama 'Wave' ; ada 'Cress' dan ada 'Trough' nya. Ada naik ada turunnya.



Perjuangan mengejar cita-cita mempamerkan kita pelbagai jenis manusia. Ada yang langsung tidak meletakkan sedikit usaha terhadap pelajarannya, siang malam, berhibur, bermain gitar & game, chatting, facebook-ing dan sebagainya. Tapi bila result exam keluar dialah yang paling tip top sedangkan kita bergandang tiap-tiap malam, siang malam menelaah buku tapi result tak seberapa.




Tapi ingatlah Allah itu Maha Adil. Bukan Dia tak adil cuma Dia hendak menguji sekalian manusia. Kejayaan dan kegagalan itu adalah ujian buat kita. Pernahkah kita berfikir adakah sesuatu berita gembira seperti kejayaan itu nikmat atau pun istidraj (perkara yang Allah kurniakan untuk menyesatkan lagi manusia)? Suka untuk saya memberi nasihat di sini, apabila sesuatu perkara yang menggembirakan itu datang, cuba kita duduk sejenak, takut perkara tersebut istidraj. Nauzubillahi Min Zalik.


Do people think that they will be left alone because they say "We believe" and will not be tested. And We indeed tested those who were before them. And Allah will certainly make (it) known (the truth of) those who are true and will certainly make (it) known (the falsehood of) those who are liars, (although Allah knows all that before put them to test) (29:2-3)


Mungkin belum masanya lagi Allah hendak mengurniakan kejayaan buat kita. Sebenarnya Allah sayangkan kita. Allah sentiasa memerhatikan kita. Allah rindu hendak mendengar doa kita. Doa kita itulah tanda penyerahan kita kepada-Nya dan merapatkan lagi kita dengan Dia.


Verily, with the hardship there is relief. So when you have finished (from your occupation) then stand up to worship Allah (stand up for prayer). And to your Lord (alone) turn (all your intentions and hopes and) your invocations. (94:6-8)


Dalam setiap ujian yang kita hadapi, pastinya ada kemenangan dan kemanisan yang kita akan rasai pada penghujungnya. Setiap kesusahan ada kesenangan.


Sunday, December 5, 2010

:: Insya-Allah Besar Maknanya ::

إن شاء الله‎ boleh diterjemahkan kepada 'Jika Allah menghendaki'. Sering kali kita tuturkan kalimah ini apabila diundang, dijemput ke sesuatu tempat atau untuk melakukan sesuatu perkara yang belum pasti kita dapat tunaikan.

Jika seseorang menilai kalimah إن شاء الله‎ ini secara terperinci, dia boleh merasakan betapa kerdil dan rendahnya diri ini apatah lagi bergelar hamba abdi di sisi Allah Subhanahu Wa Taala Yang Mulia. Kalimah ini menunjukkan kekerdilan diri manusia dalam meramal masa depan yang tidak pasti kerana perkara yang Akan Terjadi semuanya berada dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah Taala. Melalui kalimah yang suci ini, sekiranya diucap dengan penuh penghayatan dan pemahaman, kita akan yakin segala-galanya terjadi dengan izin Allah dan sekiranya kita berkesempatan melakukan perkara tersebut, perbanyakkanlah rasa syukur. Jika tidak berkesempatan, kita tidak akan berasa kecewa kerana kayakinan kita yang tutuh terhadap kekuasaan Ilahi.

Ingin saya berkongsi cerita di sebalik kalimah ini yang tertulis di dalam al-Quran (18:23-24). Suatu hari, penduduk di Makkah datang menemui Rasulullah SAW untuk bertanyakan mengenai roh, kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan kisah Dzulkarnain. Baginda SAW pun menjawab "Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan". Baginda SAW terlupa untuk mengucapkan "إن شاء الله‎". Beberapa hari lamanya, wahyu tidak turun juga untuk menceritakan hal sedemikian dan menyebabkan baginda SAW gagal menjawab pertanyaan. Maka turunlah ayat tersebut sebagai suatu pengajaran buat Nabi SAW; Allah mengingatkan Nabi SAW apabila terlupa untuk menyebut إن شاء الله‎, hendaklah segera menyebutnya kemudian.



And never say of anything "I shall do such and such thing tomorrow". Except (with the saying) "If Allah will". And remember your Lord when you forget and say, "It may be that my Lord guides me unto a nearer way of truth than this". (18: 23-24)


Penggunaan Insya-Allah dalam kalangan masyarakat kita sering menyalahi cara yang sebenarnya. Kita sering mengucapkan إن شاء الله tetapi tidak berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya. Jika kita sudah mengucapkannya tetapi perkara tersebut tidak dapat dilakukan disebabkan faktor yang berada di luar kawalan kita (hujan, banjir, dll) itu tidak mengapa kerana tidak diizinkan Allah. Semoga kita dapat beramal dengan penuh penghayatan terhadap perkara ini. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...