Showing posts with label Ibadat. Show all posts
Showing posts with label Ibadat. Show all posts

Tuesday, December 7, 2010

:: Istibra' Penting Bagi Lelaki ::

TAKRIFAN ISTIBRA'

Istibra' menurut Mausu'ah al-Fiqhiyah , (3/167) membawa dua maksud:

1. Dalam bahasa arab ialah menuntut kebersihan

2. Dalam fiqh membawa dua maksud:
i) Taharah lelaki ketika buang air khususnya buang air kecil
ii) Taharah rahim pezina dan hamba, supaya rahim mereka benar2 bersih sebelum dapat bernikah atau disetubuhi oleh orang lain.

Menurut Ibnu 'Arafah, istibra' ialah menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Jadi melalui takrifan ini, ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani.

Ulama mazhab Hanafi pula, memberikan tafsiran sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin tiada lagi sisa najis tertinggal dan mereka berpendapat istibra' tidak berkaitan dengan golongan wanita. (Hasyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)
Perkataan-perkataan Arab lain yang memberikan takrifan yang sama ialah istinqa', istinzah dan istintar


HUKUM ISTIBRA'

Sebilangan besar ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e yang berpendapat bahawa istibra‘ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibra‘ itu wajib berdalilkan dengan hadith Ad-Daraquthni yang maksudnya :

“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”.


Hadith ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra‘ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibra‘.

Dalil mereka yang kedua yang maksudnya :

“Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)


Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh imam Muhammad Ar-Razi di dalam tafsirnya “Al-Fakhrul Ar-Razi”, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba‘, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh Omar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha‘)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?”. Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinja‘ dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca ayat di atas.(Tafsir Al-Fakhrul Ar-Razi: 8/201)

CARA BERISTIBRA'

Cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.
Secara umumnya cara untuk beristibra‘ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing dari keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibra‘. (Al-Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 1/194-195)

PERCIKAN AIR KENCING YANG TERKENA PADA BADAN ATAU PAKAIAN

Seperti yang kita ketahui, air kencing merupakan sebahagian daripada najis. Jadi dalam konteks istibra’, air kencing juga perlu dibahaskan. Sekiranya terkena pada badan dan pakaian, umumnya menyebabkan apa jua ibadat dilakukan tidak sah. Namun begitu terdapat najis yang dalam kadar yang sedikit yang boleh dimaafkan sekiranya terkena pada badan dan pakaian.

KADAR YANG DIMAAFKAN

Imam Syafi’e menurut qaul jadidnya ada dua pendapat:

I. Kadar yang banyak itu ialah kadar yang boleh dilihat tanpa memandangnya dengan teliti dan tanpa diperiksa, dan kadar yang sedikit pula adalah yang sebaliknya.

II. Kadar yang ditentukan oleh adat kebiasaan, dan ini adalah pendapat yang lebih diterima (ashah). Pendapat ini mengatakan bahawa apa saja najis yang biasanya berlaku percikan dan susah hendak dielakkan adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit, dan apa jua najis yang jarang berlaku boleh membawa percikan dan mudah untuk dielakkan adalah sebaliknya (najis).(Al-Majmu’: 3/142)

HUKUM PERCIKAN AIR KENCING

Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.

Ramai orang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya yang terkena percikan najis air kencing, sehinggakan mereka menganggapnya sebagai penghalang dari melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima. Para ulama Mazhab Syafi’e mempunyai pendapat masing-masing dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.

Ada pendapat mengatakan ia adalah di antara najis-najis yang boleh dimaafkan dan ada yang mengatakan ia adalah najis. Para pengarang kitab-kitab feqh berselisih pendapat dalam memilih pendapat yang lebih diterima. Imam Al-Mawardi mengatakan yang ashah adalah pendapat yang mengatakan ia adalah najis. Sebaliknya Al-Qadhi Abu Thayyib mengatakan ia tidak najis jika terkena pada pakaian.

Pendapat yang shahih dan terpilih daripada pendapat-pendapat ini ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya Al-Muqni’ dan imam Al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
And strive hard in Allah's Cause as you ought to strive with sincerity and with all your efforts. He has chosen you and has not laid upon you in religion any hardship
(22:78)


AKHIRUL KALAM

Perkara sebegini jangan diambil remeh kerana perkara sekecil inilah yang menentukan penerimaan ibadah kita sama ada diterima atau tidak. Seperti yang kita selalu dengar kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata:

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan.Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.”

Riwayat al-lmam Muslim.



Dan Allah juga menyukai orang-orang yang membersihkan diri.


Never stand you therein. Verily, the mosque whose foundation was laid from the first day on piety is more worthy that you stand therein (to pray). In it are men who love to clean and purify themselves. And Allah loves those who make themselves clean and purify (i.e who clean their private parts with dust i.e can be considered as soap and water from urine and stools after answering the call of nature)
(9:108)

Monday, December 6, 2010

:: Al-Quran Pembersih Hati ::

Pada suatu ketika, tinggal seorang cucu dan atuknya. Atuknya bukanlah daripada golongan yang pandai berbahasa Arab tetapi dia rajin membaca al-Quran. Si cucu yang mengetahui atuknya itu tidak memahami sepatah perkataan Arab, mengutarakan pertanyaan kepada atuknya.

"Atuk, bukan ke atuk tak tahu bahasa Arab?", tanya si cucu.

"Memang cu.. Atuk sekolah pun tak habis.. Apatah lagi nak belajar bahasa Arab..", jawab atuknya.

"Habis tu tuk, kenapa atuk baca al-Quran.. kalau baca pun, bukannye faham maksudnya.. Baik tak payah baca-baca.. Macam sia-sia je", balas si cucu.

Atuknya menggeleng-geleng kepala mendengar persepsi cucunya itu. Tiba-tiba dia terfikirkan suatu idea untuk membuktikan persepsi cucunya itu salah sama sekali. Dia terlihat bakul rotannya yang selalu diisikan arang di dalamnya. Lantas dia mengambil bakul itu.



"Cu, atuk nak mintak tolong sikit boleh?", uji atuknya.

"Tolong apa tuk? Atuk tak jawab lagi soalan tadi", jawab cucunya.

"Nanti atuk jawab. Sekarang ni, atuk nak cucu ambil bakul ni pergi isi air di perigi. Isi sampai penuh ye", atuknya memberikan arahan.

"Baiklah tuk". Si cucu pun pergi mengambil air di perigi menggunakan bakul bekas pengisi arang.

Setelah air di dalam bakul tersebut sudah penuh, si cucu pun mengangkat dan segera kembali ke rumahnya. Sesudah tiba di rumah, dia lihat bakulnya sudah kering dan tiada air lagi di dalamnya.

Dia segera kembali ke perigi untuk mengangkat air lagi. Perkara sama juga terjadi, sesudah sampai di rumah, bakulnya sudah tidak berisi air lagi. Dia ulang sekali lagi buat kali ketiga. Setelah kali ketiga mencuba, akhirnya dia berputus asa kerana kepenatan.

Atuknya bangkit dan tersenyum melihat cucunya yang kepenatan. Nampaknya cucunya masih lagi tidak mengerti perbuatannya itu.

"Cu nak atuk jawab soalan cu tadi kan? Cuba cu tengok bakul buat isi arang tadi?", kata atuknya.

"Dah kering la tuk. Tak ade air pun. Buat penat je angkat dan ulang-alik. Sia-sia je', jawab cucunya

"Ada lagi yang cu tak tengok dengn teliti ni", uji atuknya.

Cucunya terkejut melihat bakul tersebut yang sudah bersih dan tiada kesan arang sedikit pun lagi.

"Atuk! Dah bersih la bakul ni!", teriak cucunya.




"Itulah dia fadhilat membaca al-Quran. Meskipun kita tidak memahami maksudnya tetapi kita dapat membersihkan hati kita, menyucikan hati kita agar kita sentiasa ingat kepada Allah.

~ Jadi daripada cerita ini, dapat kita ambil ikhtibar agar sentiasa membaca al-Quran dan seeloknya membaca terjemahan dan asbabun nuzulnya sekali agar pemahaman dan penghayatan kita terhadap ayat tersebut bertambah mantap. Wallahualam. ^^

Saturday, November 13, 2010

:: Usah Solat Sekadar Kewajipan ::

Sudah menjadi kebiaasan buat pelajar untuk menghabiskan masanya pada waktu petang dengan pc game dan movie. Bagi golongan yang terlampau penat, petang menjadi masa untuk mereka memulihkan tenaga untuk belajar pada waktu malam.

Pada suatu petang yang hening, Amran sedang asyik melayani movie. Matanya fokus tertumpu pada skrin Macbook-nya. Cerita 'Drag Me To The Hell' begitu menarik perhatiannya. Jam menunjukkan 4.15 petang. 5 minit lagi azan Asar bakal berkumandang.

Saiful menggeleng kepala melihat sahabatnya itu. Dia cuba mengajak Amran untuk bersiap-siap ke surau. "Am, jom siap-siap. Dah nak masuk Asar dah ni. 'Pause' la kejap movie kau tu. Nanti lepas Asar boleh sambung lagi", lembut Saiful mengajak.

"Kejap la. Tengah part best ni. Cerita ni kena tengok sekaligus. Tak boleh pause, nanti tak paham jalan ceritanya", Amran berbasi-basi memberikan alasannya.

"Amran,Islam tak halang pun kita nak berhibur. Tapi yang wajib kita dahulukan. Jom la. Aku dah siap dah ni", Saiful kuatkan diri untuk mengajak.

"Kau ni bising la! Cakap macam bagus sangat je! Aku bukannya tak solat, aku solat gak kat dalam bilik! Kalau kau nak pergi surau, kau pergi je la surau! Kau kan pak bilal!", Amran berang dengan ajakan Saiful.

Saiful terus berlalu pergi ke surau untuk mengumandangkan azan Asar. Usai solat Asar berjemaah, Saiful kembali ke bilik dan Amran masih lagi menonton movienya lagi.

"Amran, kau dah solat?", Saiful bertanya.

"Belommmm....Kejap,dah nak habis dah cerita ni", lemah jawapan Amran.

Setelah beberapa minit Saiful menunggu, Amran akhirnya keluar mengambil wudhuk dan membentangkan sejadah di 'tempat biasa'nya iaitu di penjuru bilik. Saiful menggeleng kepala. Amran solat begitu laju bagaikan ayam mematuk cacing di tanah. Tiada langsung tumaninah dalam setiap pergerakan solatnya. Setelah selesai, Amran segera melipat sejadahnya tanpa berdoa kepada Penciptanya sekalipun.

Saiful berat hati dengan sikap Amran yang memandang enteng terhadap solat. Digagahkan juga hatinya untuk menegur.

"Amran,aku tanya ni kau jangan marah ea? Terpulang la kat kau nak bagi jawapan ke tak. Tapi yang penting kau fikir-fikirkan la ye", Saiful memulakan bicaranya.

"Hmm.. Kenapa?", Amran kehairanan.

"Amran, kau pernah tak tanya diri kau kenapa kau solat? Kau rasa kenapa Nabi Musa menyuruh Nabi Muhammad SAW mengurangkan bilangan solat yang Allah fardhukan ke atas kita selaku umatnya?", Saiful bertanya Amran.

"Alaa. Kau ni tanya aku macam aku tak tahu pulak. Solatkan tiang agama. Kita solat sebab kewajipan la. Kan senang jawapannya tu. Jawapan untuk soalan kedua pulak, sebabnya ummat Islam akhir zaman semakin sibuk so kalau banyak sangat waktu solat payah la urusan kita nanti", mudah sahaja Amran memberikan jawapan tanpa berfikir terlebih dahulu.

"Amran.. Amran.. Kalau macam tu la jawapan kau, maka rugi la sekalian manusia yang berpendapat macam kau. Amran, kita solat sebab Allah suruh kita ingat dia"


"Verily! I am Allah! La ilaha illa Ana (none has the right to be worshiped but I) so worship Me, adn perform As-Salat (Iqamat-as-Salat) for My Remembrance".
(20:14)


"Solat sebenarnya juga mencegah kita daripada perkara keji dan mungkar. Cuba teliti ayat ni"


"Recite (Oh Muhammad SAW) what has been revealed to you of the Book (the Quran) and perform as-Salat (Iqamat as-Salat). Verily, As-Salat (the prayer) prevents from Al-Fahsha (i.e great sins of every kind, unlawful sexual intercourse, etc) and al-Mungkar (disbelief, polytheism, and every kind of evil wicked deed, etc) and the remembering (praising,etc) of (you by) Allah (in front of the angels) is greater indeed (than your remebering (praising, etc) Allah in prayers. And Allah know what you do"
(29:45)


"Semua orang tahu solat tu la perkara pertama yang akan dihisab pada hari akhirat kelak. Tetapi pelaksanaan kita ala kadar sahaja. Buat sekadar tuntutan sahaja".

Dari Abi Hurairah r.a. beliau berkata: Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya amalan seorang hamba yang pertama sekali dihisab ialah sembahyangnya. Sekiranya sembahyang itu bagus, maka dia berjaya. Tetapi jika sembahyang itu rosak, maka dia rugi. Sekira ada apa-apa kekurangan didalam kewajipannya(solat) maka Allah Azza Wajal mengatakan:- Perhatikan apakah hamba aku mempunyai sembahyang sunat yang boleh dia menyempurnakan kekurangannya didalam solat fardu. Segala amalannya yang lain akan diadili seperti itu.( Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, Al-Nasaai, Ibn Majah dan Ahmad)


"Memang betul solat itu selaku kewajipan buat kita tapi tiada ertinya solat dengan niat sebegitu. Janganlah kita solat sebab kewajipan, sebab pahala, sebab nak masuk syurga semata-mata. Kita cuba latih diri kita, solat kerana kita cinta kat Allah Taala yang telah ciptakan kita, bagi kita segala nikmat. Kita solat berjamaah sebab kecintaan kita pada Rasulullah SAW yang menganjurkan perkara sedemikian".

"Solat ni ibarat medium untuk kita luahkan segala-galanya kat Allah Taala. Solat ni la kita ibarat 'DATE' kita dengan Kekasih kita. Bila kita letakkan cinta kita dalam solat kita untuk bertemu dengan Kekasih kita, automatic akan wujudnya rasa rindu untuk kita bertemu dengan Dia. Apabila ada rasa rindu tu, barulah kita akan merasai 'Khalawatul Iman', kemanisan iman dalam beribadat. Kita akan rasa tak sedap hati andai kita menangguhkan solat, andai kita terlewat solat jamaah, andai kita tidak dapat tabkiratul ula. Semua tu akan timbul andai hati kita benar-benar mencintai Allah dan dizahirkan melalui solat kita"

"Kalau hati kita terletak pada masjid, kita ikhlas datang ke surau, ke masjid, untuk solat jamaah, insya-Allah kita dipelihara dan mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak"

Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri (yakni hari kiamat), iaitu :

1) imam (kepala atau pemimpin) yang adil.

2) Pemuda yang membesar (sejak kecilnya) dalam beribadat kepada Allah.

3) Orang yang hatinya tergantung (sangat memerhatikan) kepada masjid-masjid.

4) Dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula.

5) Orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," (demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas)

6) juga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya.

7) dan orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."

(Muttafaq 'alaih)




"Saiful, aku mintak maap la ye tadi aku marah kau. Terima kasih la bagi aku teguran. Iman aku rendah, Saiful. Ilmu aku pun tak tinggi mana", Amran berkata.

"Am, manusia semuanya lemah dan taufiq walhidayah tu datangnya daripada Allah Taala. Setiap manusia itu pelupa. Jadi, peranan kita la untuk saling memberi peringatan. Ilmu kita semua sedikit nak dibandingkan dengan ilmu Allah. Melalui usrah, tazkirah, tadabbur al-Quran la kita dapat tingkatkan ilmu agama kita, kefahaman terhadap agama kita sendiri. Berdamping dengan orang-orang alim pun dapat meningkatkan ilmu agama kita", panjang penjelasan Saiful.

"Saiful.. Lepas ni, setiap kali waktu solat, kau peringatkan aku ye untuk solat berjamaah. Kalau boleh, aku nak masuk saf pertama dan dapat takbiratul ula. Nanti lepas solat, ajak la aku dengar tazkirah ye. Maklum la manusia ni pelupa dan iman boleh turun naik", lembut Amran berkata.

"Takde masalah. Insya-Allah aku cuba tunaikan", senyuman terpancar di raut wajah Saiful kerana 'misi'nya berjaya. Hati seorang rakan telah berjaya diubahnya dengan izin Allah Taala, pemilik dan pemberi hidayah.

"Terima kasih sahabatku", Amran memeluk Saiful.

"Afwan ya akhi", Salful membalas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...