Tuesday, December 7, 2010

:: Istibra' Penting Bagi Lelaki ::

TAKRIFAN ISTIBRA'

Istibra' menurut Mausu'ah al-Fiqhiyah , (3/167) membawa dua maksud:

1. Dalam bahasa arab ialah menuntut kebersihan

2. Dalam fiqh membawa dua maksud:
i) Taharah lelaki ketika buang air khususnya buang air kecil
ii) Taharah rahim pezina dan hamba, supaya rahim mereka benar2 bersih sebelum dapat bernikah atau disetubuhi oleh orang lain.

Menurut Ibnu 'Arafah, istibra' ialah menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Jadi melalui takrifan ini, ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani.

Ulama mazhab Hanafi pula, memberikan tafsiran sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin tiada lagi sisa najis tertinggal dan mereka berpendapat istibra' tidak berkaitan dengan golongan wanita. (Hasyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)
Perkataan-perkataan Arab lain yang memberikan takrifan yang sama ialah istinqa', istinzah dan istintar


HUKUM ISTIBRA'

Sebilangan besar ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e yang berpendapat bahawa istibra‘ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibra‘ itu wajib berdalilkan dengan hadith Ad-Daraquthni yang maksudnya :

“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”.


Hadith ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra‘ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibra‘.

Dalil mereka yang kedua yang maksudnya :

“Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)


Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh imam Muhammad Ar-Razi di dalam tafsirnya “Al-Fakhrul Ar-Razi”, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba‘, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh Omar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha‘)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?”. Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinja‘ dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca ayat di atas.(Tafsir Al-Fakhrul Ar-Razi: 8/201)

CARA BERISTIBRA'

Cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.
Secara umumnya cara untuk beristibra‘ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing dari keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibra‘. (Al-Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 1/194-195)

PERCIKAN AIR KENCING YANG TERKENA PADA BADAN ATAU PAKAIAN

Seperti yang kita ketahui, air kencing merupakan sebahagian daripada najis. Jadi dalam konteks istibra’, air kencing juga perlu dibahaskan. Sekiranya terkena pada badan dan pakaian, umumnya menyebabkan apa jua ibadat dilakukan tidak sah. Namun begitu terdapat najis yang dalam kadar yang sedikit yang boleh dimaafkan sekiranya terkena pada badan dan pakaian.

KADAR YANG DIMAAFKAN

Imam Syafi’e menurut qaul jadidnya ada dua pendapat:

I. Kadar yang banyak itu ialah kadar yang boleh dilihat tanpa memandangnya dengan teliti dan tanpa diperiksa, dan kadar yang sedikit pula adalah yang sebaliknya.

II. Kadar yang ditentukan oleh adat kebiasaan, dan ini adalah pendapat yang lebih diterima (ashah). Pendapat ini mengatakan bahawa apa saja najis yang biasanya berlaku percikan dan susah hendak dielakkan adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit, dan apa jua najis yang jarang berlaku boleh membawa percikan dan mudah untuk dielakkan adalah sebaliknya (najis).(Al-Majmu’: 3/142)

HUKUM PERCIKAN AIR KENCING

Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.

Ramai orang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya yang terkena percikan najis air kencing, sehinggakan mereka menganggapnya sebagai penghalang dari melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima. Para ulama Mazhab Syafi’e mempunyai pendapat masing-masing dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.

Ada pendapat mengatakan ia adalah di antara najis-najis yang boleh dimaafkan dan ada yang mengatakan ia adalah najis. Para pengarang kitab-kitab feqh berselisih pendapat dalam memilih pendapat yang lebih diterima. Imam Al-Mawardi mengatakan yang ashah adalah pendapat yang mengatakan ia adalah najis. Sebaliknya Al-Qadhi Abu Thayyib mengatakan ia tidak najis jika terkena pada pakaian.

Pendapat yang shahih dan terpilih daripada pendapat-pendapat ini ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya Al-Muqni’ dan imam Al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
And strive hard in Allah's Cause as you ought to strive with sincerity and with all your efforts. He has chosen you and has not laid upon you in religion any hardship
(22:78)


AKHIRUL KALAM

Perkara sebegini jangan diambil remeh kerana perkara sekecil inilah yang menentukan penerimaan ibadah kita sama ada diterima atau tidak. Seperti yang kita selalu dengar kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata:

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan.Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.”

Riwayat al-lmam Muslim.



Dan Allah juga menyukai orang-orang yang membersihkan diri.


Never stand you therein. Verily, the mosque whose foundation was laid from the first day on piety is more worthy that you stand therein (to pray). In it are men who love to clean and purify themselves. And Allah loves those who make themselves clean and purify (i.e who clean their private parts with dust i.e can be considered as soap and water from urine and stools after answering the call of nature)
(9:108)

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kalau lepas istinjak kemudian kain termasuk dalam lubang kemaluan(lelaki) semasa tgh lap najis atau tidak

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kerana memberi info dan maklumat dengan baik...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...