Wednesday, December 8, 2010

:: Saidina Umar Pemimpin Terbilang Part I ::




Saidina Umar al-Khatab merupakan khalifah yang kedua dalam Khulafak Ar-Rasyidin. Saidina Umar al-Khatab juga dikatakan sebagai orang yang melakukan penghijrahan terbesar semasa peristiwa hijrah ke Madinah. Hal sedemikian disebabkan oleh semangatnya yang tinggi dalam memusuhi dakwah Nabi Muhammad SAW semasa zaman jahiliyahnya. Namun begitu, setelah diberikan hidayah untuk memeluk Islam, Saidina Umar merupakan orang yang paling berani membela Islam. Dan semasa peristiwa hijrah juga, beliau berani mencabar musyrikin Makkah yang hendak menghalang penghijrahannya. Orang ramai yang berasa gentar dengan Saidina Umar tidak sanggup berbuat apa-apa.

Pernah suatu ketika, Saidina Umar berkata,

"Alangkah bagusnya aku menjadi seperti pohon tamar. Sesudah mati tidak akan dipersoalkan lagi". Apabila berfikir mengenai kematian, Saidina Umar pasti akan menitiskan air mata keinsafan. Manusia selepas mati pasti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar. Segala amalan di dunia akan dipersoalkan dengan al-Mizan keadilan Allah SWT. Andai buku amalan diterima dengan tangan kanan, maka baiklah keadaan seterusnya. Sebaliknya jika dengan tangan kiri, maka rugi dan menyesallah dia.

Pembantu Saidina Umar, Aslam kehairanan melihat Saidina Umar lantas bertanya, "Wahai Amirul Mukminin, mengapa kamu menangis?".

"Aku sangat takut akan seksaan kubur dan azab neraka", jawab Saidina Umar.

"Tetapi tuan sudah tergolong dalam orang-orang yang dijamin syurga bukan?", tanya Aslam.

"Sekiranya aku melakukan kesalahan, aku tetap dihukum dahulu kecuali dengan pengampunan Allah Taala", jawab Saidina Umar.

Mendengar Aslam jawapan Saidina Umar itu, dia cuba menghiburkan hati Saidina Umar, "Tuan tidak pernah melakukan kesalahan. Tuan seorang khalifah yang adil".

"Di akhirat nanti, aku pasti ditanya mengenai kepimpinanku dan apakah nasibku sekiranya masih ada lagi rakyat yang tidak mendapat haknya lalu mereka menuntut keadilan di hadapan Allah A'za Wajalla?", tanya Saidina Umar.

"Semoga Allah ampunkan kesalahan tuan", ujar Aslam.

======================================================


Usai solat Isyak secara berjamaah, Saidina Umar memberitahu Aslam,

"Wahai Aslam, temankan aku keluar malam. Aku gusar dan tidak dapat melelapkan mata andainya tanggungjawabku sebagai khalifah masih belum sempurna".

"Baiklah tuan", jawab Aslam.

Menjadi rutin Saidina Umar untuk berjalan pada waktu malam tatkala rakyatnya sedang nyenyak tidur. Pada lama tersebut, Saidina Umar dan Aslam terlihat unggun api di hujung suatu kawasan.

"Mari kita ke sana wahai Aslam. Mungkin ada pengembara yang bermalam ataupun tersesat jalan dan mereka mungkin memerlukan bantuan",kata Saidina Umar.

"Baiklah tuan", akur Aslam.

Tatkala mereka mendekati unggun api tersebut, kelihatan seorang wanita sedang menjerang sebuah periuk dan 4 orang kanak-kanak sedang menangis.

"Assalamualaikum, puan. Boleh saya tahu mengapa kanak-kanak ini menangis?", tanya Saidina Umar.

"Mereka kelaparan", jawab perempuan itu.

"Apakah yang puan sedang masak?", tanya Saidina Umar lagi

"Hanyalah ketulan-ketulan batu dan air sahaja wahai tuan. Makanan kami sudah habis. Tetapi anak-anakku sedang kelaparan. Jadi, aku terpaksa menjerang air dan batu untuk menyedapkan hati mereka supaya mereka fikir aku sedang memasak sesuatu", jawab perempuan itu.

Saidina Umar berasa sangat simpati dengan nasib mereka sekeluarga.

"Kenapa puan tidak memberitahu hal ini kepada Amirul Mukiminin?", uji Saidina Umar.

"Dia tidak pernah ambil tahu hal kami. Patutkah seseorang yang bergelar khalifah mengabaikan tanggungjawabnya. Orang yang bergelar khalifah sepatutnya mebambil tahu kebajikan setiap rakyatnya", jawab perempuan itu.

"Semoga Allah mengampuni khalifah kita. Puan tunggulah di sini ya. Saya pergi mendapatkan sedikit makanan", kata Saidina Umar.

"Alangkah baik hati tuan. Tuan lebih layak menyandang jawatan khalifah berbanding Umar al-Khatab", kata perempuan itu.

"Puan, ini ada sedikit makanan. Kami bawakan tepung, minyak, kurma dan pakaian untuk puan", kata Saidina Umar.

"Murah sungguh hati tuan. Benar kata saya tadi. Tuanlah yang patut menjadi khalifah", kata perempuan itu.

Aslam bertanya, "Puan, bolehkah saya bertanya sesuatu? Di mana suami puan?"

"Suamiku pergi berperang dan gugur syahid. Selepas kematiannya aku sekeluarga hilang tempat bergantung. Khalifah tida pernah ambil tahu hal kami", jawab perempuan itu.

Saidina Umar kemudiannya memberikan tamar kepada perempuan itu untuk diberikan kepada anak-anaknya dan menyelimuti anak-anaknya sambil dia memasak tepung yang dibawanya. Setelah selesai masak, perempuan itu dan anak-anaknya menikmati makanan tersebut sehingga kenyang.

"Allah sahaja yang dapat membalas jasa tuan. Tuan sepatutnya menjadi khalifah"

Aslam ingin sahaja memberitahu yang lelaki di hadapan perempuan ini merupakan seorang khalifah tetapi Saidina Umar mengisyaratkan Aslam agar tida berbuat sedemikian.

Saidina Umar sempat berpesan kepada perempuan tersebut agar pergi ke rumah Saidina Umar pada keesokan harinya bersama anak-anaknya.

Pada keesokan harinya, setelah perempuan itu sampai di rumah Saidina Umar, dia terkejut kerana lelaki yang membantunya semalam ialah Saidina Umar al-Khatab. Dia meminta maaf kerana tidak mengenali Saidina Umar dan Saidna Umar juga meminta maaf kerana tidak mengetahui perihal perempuan tersebut.

=====================================================

~ Pemimpin sekarang sepatutnya mencontohi sifat Saidina Umar yang sentiasa takut sekiranya kepimpinannya tidak cukup sempurna dan takut jika ramai lagi rakyat yang tidak mendapat pembelaan. Jawatan merupakan suatu amanah yang akan dipersoalkan semasa hari akhirat. Apabila bergelar pempimpin, sebelah kaki kita sudah ditarik ke lembah neraka. Jadi pemimpin bukan kerana jawatan, nama, harta dan kemahsyuran tetapi ikhlas kerana Allah Taala. ~


1 comment:

  1. watch cter hndustan..nayak..skli pkir2 blik,aq rser dyer copy paste dr cter saidina umar lah...lolz

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...