Sunday, December 5, 2010

:: Insya-Allah Besar Maknanya ::

إن شاء الله‎ boleh diterjemahkan kepada 'Jika Allah menghendaki'. Sering kali kita tuturkan kalimah ini apabila diundang, dijemput ke sesuatu tempat atau untuk melakukan sesuatu perkara yang belum pasti kita dapat tunaikan.

Jika seseorang menilai kalimah إن شاء الله‎ ini secara terperinci, dia boleh merasakan betapa kerdil dan rendahnya diri ini apatah lagi bergelar hamba abdi di sisi Allah Subhanahu Wa Taala Yang Mulia. Kalimah ini menunjukkan kekerdilan diri manusia dalam meramal masa depan yang tidak pasti kerana perkara yang Akan Terjadi semuanya berada dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah Taala. Melalui kalimah yang suci ini, sekiranya diucap dengan penuh penghayatan dan pemahaman, kita akan yakin segala-galanya terjadi dengan izin Allah dan sekiranya kita berkesempatan melakukan perkara tersebut, perbanyakkanlah rasa syukur. Jika tidak berkesempatan, kita tidak akan berasa kecewa kerana kayakinan kita yang tutuh terhadap kekuasaan Ilahi.

Ingin saya berkongsi cerita di sebalik kalimah ini yang tertulis di dalam al-Quran (18:23-24). Suatu hari, penduduk di Makkah datang menemui Rasulullah SAW untuk bertanyakan mengenai roh, kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan kisah Dzulkarnain. Baginda SAW pun menjawab "Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan". Baginda SAW terlupa untuk mengucapkan "إن شاء الله‎". Beberapa hari lamanya, wahyu tidak turun juga untuk menceritakan hal sedemikian dan menyebabkan baginda SAW gagal menjawab pertanyaan. Maka turunlah ayat tersebut sebagai suatu pengajaran buat Nabi SAW; Allah mengingatkan Nabi SAW apabila terlupa untuk menyebut إن شاء الله‎, hendaklah segera menyebutnya kemudian.



And never say of anything "I shall do such and such thing tomorrow". Except (with the saying) "If Allah will". And remember your Lord when you forget and say, "It may be that my Lord guides me unto a nearer way of truth than this". (18: 23-24)


Penggunaan Insya-Allah dalam kalangan masyarakat kita sering menyalahi cara yang sebenarnya. Kita sering mengucapkan إن شاء الله tetapi tidak berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya. Jika kita sudah mengucapkannya tetapi perkara tersebut tidak dapat dilakukan disebabkan faktor yang berada di luar kawalan kita (hujan, banjir, dll) itu tidak mengapa kerana tidak diizinkan Allah. Semoga kita dapat beramal dengan penuh penghayatan terhadap perkara ini. Wallahualam.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...